Thursday 5 July 2012

BABI HUTAN ADA ONG LO! : MISTIK KITA

TERSEBUTlah kisah seekor anak babi hutan merayau-rayau ke kawasan kampung. Anak babi itu nampak comel. Anak haiwan memang macam itu, serupa kita tengok anak kucing, anak rimau, anak singa, anak beruang atau anak orang utan. Disebabkan comel lote, maka anak babi hutan itu dilayan dengan baik oleh seorang penduduk di situ.
Kata orang kampung, emak babi hutan itu itu sudah mati dilanggar kereta ketika melarikan diri dari kawasan hutan "simpan" yang telah diteroka habis untuk buat projek milik manusia. Haiwan yang mempunyai habitat semula jadi sudah kehilangan kampung halaman. Hutan tempat tinggal mereka diterokai manusia untuk projek yang mengeyangkan si perut gendut bertali-leher berkereta besar.
Apa sudah jadi dengan anak babi hutan yang cute itu?
Bebudak kampung layan anak babi itu, bagi makan semua. Kenyang dan seronok sangatlah si anak babi hutan dapat duduk bersama manusia.
Disebabkan layanan istimewa, ada seorang dua yang kaki nombor ekor mula fikirkan tentang "ong" dari anak babi ini. Kalau beli nombor bawalah kertas pertaruhan itu dan sentuhkan kepada anak babi hutan itu. Mana tahu ada "ong" boleh kena hadiah nombor satu!
Hoi! Haramlah, babi tu dahlah haram, ditambah lagi dengan nombor ekor pula. Memanglah haram. Tetapi yang kemaruk dengan anak babi hutan dan kemudian bawa kertas merah ramalan atau kertas pertaruhan itu semuanya golongan kafirin, kalau ada Melayu yang datang ke situ nak ambil berkat mistik anak babi hutan alias khinzir itu adalah Melayu jenis bagaimana?
Melayu pun banyak kategori dan jenisnya, kena faham tu. Jadi, yang gila perkara mistik, mistik dari nombor bertuah sempena berkat anak babi hutan maka mereka ikut-ikutan si apek dan si nyonya. Kalau apek buka buku ramalan mimpi, maka dia pun tumpang sekaki.
"Apek, kalau itu babi hutan anak apa nombor?" tanya Melayu jati ini.
"Itu ka? Nan gua tengok apa nombor," apek pun belek buku "primbonan" dan "Jayabaya" nya sambil mengatakan kalau anak babi hutan, nombornya begini dan begitu. Maka Melayu yang satu ini pun ikut tumpang tuah anak babi hutan. Beli nombor di kedai kopi. Atau pergi pekan beli nombor ramalan. Mana tahu anak babi ini ada "ong".
Jadi, kalau ada Melayu yang ikut ambil berkat anak babi hutan itu adalah Melayu kategori yang tak makan saman. Melayu kategori yang pantang ada nombor ekor pasti jumpa punya.
Kita tak payah nak cerita, oh, itu kerja khurafat, tak boleh. Melayu yang tak makan saman ini pun tak tahu apa bendanya khurafat. Sebab selama ini pun dia ikut ke mana orang pergi. Kalau ada orang buat angkung dia pun ikut. Kalau ada orang menyeru datuk keramat di kubur lama pun dia ikut. Kalau ada orang bawa tali orang mati gantung diri pun dia ikut. Pendeknya, kerja menurun bawah pokok atau depan busut sudah jadi hobi sejak bertahun-tahun yang lampau. Jangan marah bang!
Yang namanya Melayu apa nak hairan kalau mereka beli nombor ekor berkat anak babi yang dia jumpa itu. Tak perlu menghukum orang macam itu kerana mereka masih setia dengan amalan semi purba dan paganisme itu.
Kalau kita bertindak pada dia, bagaimana orang moden yang pergi naik ke Genting Highlands itu, malam-malam naik bukit, esok petang baru balik. Ada masanya untung dan ada masanya rugi. Hoi, bang! Mana ada orang Melayu boleh masuk Genting main judi bang? Siapa kata? Yang ditegah adalah orang Islam. Melayu tak apa.
Maka bilangan Melayu yang naik ke situ sebenarnya ramai. Hanya kerana sudah lama tak ada orang sibuk, papar dalam akhbar harian atau mingguan, tak ada liputan dalam tv, maka orang pergi Genting sudah jadi biasa.
Satu lagi, orang hanya nampak Melayu beli nombor ekor di kedai ramalan baik toto, magnum dan kuda. Tetapi orang tak fikir pun siber-kafe yang melambak di sana-sini siap ada CCTV lagi. Setakat nak berinternet apa nak CCTV semua? Jadi, di situ juga ada unsur atau memang perujudian kelas kakap yang orang lupa.
Kemudian, bukan tidak ada mesin permaian semacam jackpot itu beroperasi di kelab-kelab eksklusif. Siapa yang main? Muka Melayu pun ramai juga bang. Ada yang berpangkat tinggi dan berpangkat rendah. Kena pandailah. Ada yang sanggup jalan jauh semata-mata hendak berjudi di kelab yang serba aduhai itu.
Memanglah, orang selalu nampak Melayu kena tangkap kerana beli empat nombor ekor di kedai magnum, toto atau kuda. Padahal paling ramai membeli siapa? Paling ramai cai nombor petang-petang siapa?
Melayu yang dimaksudkan ini termasuklah grup dari Indonesia yang kononnya amat mahir buat cai. Pandai baca code atau barcode pada tiket pertaruhan. Kepandaian mereka ini luar biasa, hingga mereka boleh cakap tiga angka masuk, satu kena tukar. Hebat. Tak payah cari anak babi hutan atau bomoh Cina untuk dapatkan ramalan jitu. Dulu Dato Baba di Jalan Masjid India pun pakar ramal nombor macam ini. Sekarang dia berniaga di Pasar Karat Jalan Petaling [baca laporan tentang ini dalam blog].
Melayu juga suka pergi ke kelab lumba kuda. Tidak kira bulan puasa atau tidak. Mereka lebih suka ke situ sebab di situ boleh on the spot ambik duit. Bertaruhlah setiap race atau race tertentu sahaja.
Di situ mereka tak segan-segan pergi kaunter beli tiket pertaruhan, dan tak segan ambik duit berkepuk [kalau menang racelah!] kalau tidak mereka termenung dan tepuk dahi.
Hairannya, kelab lumba kuda seperti contohnya di Sg Besi yang tak jauh dari The Mines ini, macam ruang yang eksklusif, tak pernah dengar ada orang Melayu kena tangkap kerana berjudi. Bahkan ramai joki kuda lumba itu adalah orang yang berketurunan Boyan.
Dulu orang Melayu yang tinggal di kawasan sekitar Kg.Bharu, Chow Kit dan sekitarnya, termasuk Ampang dan Kg Pandan, banyak yang pakar dalam lumba kuda. Maklum dulu tapak KLCC yang ada sekarang ini adalah padang lumba kuda.
Hari minggu ramai orang ke situ. Berkampung seharian suntuk untuk berjudi.Adakah sesiapa yang mengatakan oh, khurafat puja kuda lumba nak bagi menang? Tidak ada. Sebab dunia lumba kuda adalah dunia asing dalam dunia Melayu yang eksklusif.
Orang yang kaki kuda ramai yang pakai topi, bareta atau tak pakai apa. Dulu banyak juga kalangan veteran dalam dunia hiburan masuk ke situ. Bukan nak katalah. Ini merujuk kepada padang lumba zaman Jalan Ampang dulu. Ada perkampungan setinggan orang Boyan di situ, saya pun pernah singgah, tumpang solat di surau situ. Biasa ke situ sebab nak rasa rojak yang sedap.
Orang nak berjudi empat nombor sanggup buat apa sahaja. Kebanyakan yang terlibat adalah geng bersongkok rendah dan kelepet atau lipat. Jadi soal ambil berkat anak babi hutan atau tidak, mereka tak ambil pusing.
Malah ada satu kes menarik, seorang lelaki asal Gombak [?] mendakwa dia menang pertaruhan 6 digit berkat kesabaran membeli angka pertaruhan selama berbulan-bulan berdasarkan nombor siri batu nisan arwah bapanya yang meninggal. Dia kata si ayah telah berpesan agar membeli nombor batu nisannya. Ini lagi kes haru. Antara percaya dengan tidak.
Dia yang dulu bekerja di sebuah bangunan dekat Kota Raya, KL, ada beritahu, setelah memang dia beli Waja sebuah. Bakinya? Enjoylah...apa lagi. Jangan kata duit itu berkat atau tak berkat. Dalam kamus orang yang ketagihan dengan permainan ini mereka tak ada perhitungan itu.
Apa nak hairannya dengan membawa kertas pertaruhan dan disentuhkan kepada anak babi hutan itu untuk dapatkan berkat semoga dapat "ong" kerana dalam dunia mistik Melayu pun ada orang yang sibuk mencari rantai babi.
Seorang lelaki yang mendakwa pernah berkhidmat dengan kedutaan kita di Mesir pun pernah bertanya di mana nak cari rantai babi? Bukan rantai macam rantai beruk, tetapi ini benda mistik yang orang gila-gila nak cari. Di Indonesia nama rantai babi sudah terkenal, begitu juga di negara kita terutama Melayu yang kemaruk dengan kemistikan babi. Rantai babi pun ada kaitan dengan babi hutan tunggal.
Jadi ratai babi pun ada "ong" juga siapa yang boleh dapat. Harganya? Mahan lo, latus-latus libu, janji ORIGINAL. []


No comments:

Post a Comment